Radicare Pejabat Negeri Pahang telah menjayakan sebuah perlawanan persahabatan boling iaitu Friendly Bowling Tournament – PSH CUP 2024 pada 20hb Februari 2024, jam 8.30 malam bertempat di Pusat Bowling Premium Lanes, Kuantan Plaza, Pahang.

 

Program ini telah disertai oleh 64 orang pemain daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), hospital-hospital di Negeri Pahang dan kakitangan Radicare Negeri Pahang. Terdapat 16 kumpulan yang bertanding, dan satu kumpulan terdiri daripada 4 orang peserta campuran dari JKNP, hospital dan juga Radicare.   

 

YBhg. Dato’ Dr. Wan Abdul Rahim Bin Wan Muhammad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang dan En. Wan Abdul Haris Bin Wan Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah Kanan Kejuruteraan JKNP berkesempatan untuk hadir memeriahkan perlawanan persahabatan boling yang julungkali diadakan ini. Peserta jemputan daripada JKNP dan hospital terdiri daripada Pengarah Hospital, Jurutera, Penolong Jurutera dan juga Ketua Unit.

 

Dengan membawa tema “Strong Today, Stronger Tomorrow, Strongest Together”, kejohanan ini adalah bagi memupuk semangat toleransi dan kerjasama di antara warga Radicare dan pihak hospital di samping mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berteraskan kesukanan. Ia juga memberi peluang berinteraksi dan bersosial sesama warga Radicare serta pihak hospital selain membina keyakinan diri dan melatih diri agar lebih berdisiplin.

 

Juara bagi kategori berpasukan menerima hadiah berupa trofi dan hamper bersama piala pusingan yang telah disampaikan oleh Pengurus Besar Radicare Negeri Pahang, Encik Ab Aziz Bin Dollah. Kejohanan edisi ini telah dijuarai oleh pasukan daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA 3) yang diwakili oleh Encik Mohd Amirul Arshad, Puan Rosliana Ghazali, Puan Noor Fauziah Muhammad dan Encik Mohamad Mozaid Othman.