Radicare perihatin tentang keselamatan pekerja dan Alam sekitar
Banting, 15 Jun 2009 – Penyedia pengurusan kemudahan bersepadu, Radicare (M) Sdn. Bhd. hari ini melancarkan Minggu Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar 2009 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun lalu.
Majlis tersebut telah dilancarkan oleh Mohamed Rafique Merican, Ketua Pegawai Eksekutif, Radicare (M) Sdn. Bhd di kilangnya di Teluk Panglima Garang, Selangor.
Objektif utama Minggu Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar tersebut ialah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pekerja dan masyarakat tentang kepentingan menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan kondusif di samping memelihara alam sekitar.
Program tersebut berlangsung selama seminggu dari 15 sehingga 21 Jun dan akan dijalankan di seluruh anak syarikat dan cawangan Radicare di seluruh negara.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang minggu tersebut ialah ceramah tentang keselamatan di tempat kerja, tayangan video dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.
Menurut Mohamed Rafique, “Minggu Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar ini dapat menjadi medan untuk warga Radicare menyedari betapa pentingnya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan ketika bekerja. Di samping itu, kami juga sentiasa menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar dalam setiap operasi syarikat kami.”
Dalam majlis itu juga, Mohamed Rafique melancarkan polisi keselamatan dan kesihatan Radicare (M) Sdn. Bhd. yang baru di samping menanam pokok sebagai tanda komitmen Radicare memberi perhatian kepada keselamatan di tempat kerja dan menjaga alam sekitar.
Taken from Press Release.
|