KOTA TINGGI: Walaupun kejadian banjir sudah dua bulan berlalu di bandar ini, syarikat korporat, Radicare (M) Sdn Bhd tidak ketinggalan turun padang memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.
Berbekalkan satu kontena barang keperluan harian dan produk makanan, fokus kawasan syarikat berkenaan adalah membantu 95 keluarga di Taman Kota Kechil dan pelajar di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi (PKAYI).
Ketua Operasi dan ICT, Kumpulan Radicare, Halwah Abdul Manaf, berkata sumbangan itu diberikan sebagai tanda simpati syarikat terhadap mangsa bencana banjir di bandar.
“Walaupun sudah dua bulan berlalu, kami percaya pengalaman perit dan trauma dialami penduduk terbabit dengan banjir masih dirasai hingga sekarang. Kami harap bantuan ini tidak lewat.
“Harapan kami, bantuan barangan ini sedikit sebanyak dapat menyumbang untuk meringankan beban keluarga yang dilanda banjir di sini,” katanya, pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Dewan PKAYI Kota Tinggi di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi PKAYI Kota Tinggi, Datuk Yusof Malim Kuning, ahli Jawatankuasa PKAYI dan 95 keluarga mangsa banjir dari Taman Kota Kechil.
Katanya, pelbagai jenis produk makanan dan barangan untuk membersihkan diri dibawa daripada Kuala Lumpur itu bernilai kira-kira RM20,000.
Sumbangan barangan itu dilakukan dengan usahasama Radicare dan lima anak syarikatnya, iaitu Medilaud (M) Sdn Bhd, Radifems Sdn Bhd, Radifleet Sdn Bhd, Radibems Sdn Bhd dan Clinwaste (M) Sdn Bhd.